Tuesday, March 19, 2013

Berlumba-lumba dalam membuat kebaikan


21:90. Maka Kami memperkenankan doanya, dan Kami anugerahkan kepadanya Yahya dan Kami jadikan istrinya dapat mengandung. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada Kami.


Rasulullah s.a.w mengatakan ada seorang perempuan tua yang tinggal seorang diri di rumahnya. Perempuan itu memerlukan bantuan daripada seseorang bagi mengambil air untuk diminum dan mengambil wudhu'. Lalu baginda s.a.w bertanya siapa yang sanggup mengambilkan air untuk perempuan tua itu. Maka Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab segera menawarkan diri.



Esoknya sebelum fajar menyingsing, Umar Al-Khattab pergi ke rumah perempuan tua itu bagi memenuhkan bekas tempayan di rumah itu dengan air. Tetapi didapatinya tempayan itu sudah dipenuhi dengan air. Malam esoknya dia datang lebih awal, tidak mahu orang lain mendahuluinya. Namun dia berasa hairan kerana tempayan air itu sudah penuh juga. Pada malam ketiga, Umar Al-Khattab bangun lebih awal lalu mengintai orang yang mengambil air untuk perempuan tua itu. Didapatinya orang itu adalah Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq.




"Saya berasa cemburu kepada saudara kerana sentiasa mendahului saya dalam membuat kebajikan," kata Umar Al-Khattab kepada Abu Bakar.



Wednesday, March 13, 2013

Daie : Penat!


Mata Saiful kuyu. Luku.

Dia memandang skrin komputer ribanya tanpa perasaan. Sambil mendengar rakaman ceramah oleh Ustaz Salim.

Hujung minggu ini dia dijemput untuk memberi perkongsian di Perlis. Baharu malam semalam dia memberi perkongsian ringkas di sebuah institut pengajian awam yang boleh tahan glamor di ibu negara. Hujung minggu lepas, dia memberi pengisian untuk ikhwah dari Kelantan yang datang berjaulah ke Kuala Lumpur.

Sepanjang minggu ini malamnya penuh. Sama ada dengan mesyuarat, bulatan gembira, pengisian atau sesi minum teh dengan ikhwah terchenta. Pendek kata, tiada malam yang kosong. Penuh.

Saiful terus memandang skrin, memerhatikan aksara-aksara yang sudah ditaipnya. Dia mendengar rakaman sambil menulis nota. Tanpa perasaan. 

Kepalanya ligat memikirkan bermacam-macam benda dan perkara. Bulatan gembira adik-adik. Projek ekonomi untuk membantu ikhwah dan akhawat yang memerlukan. Penyusunan gerak kerja dakwah. Mas'uliyah yang dipegangnya. Mutabaah yang masih belum tertunai. Kerja-kerja di pejabat. Perniagaan kecil-kecilannya. Ikhwah yang dirinduinya. Nama ikhwah yang belum dimasukkan ke dalam milis. Mad'u yang perlu dipantau. Sms yang belum berbalas. Emel yang menantikan maklum balasnya. Artikel yang belum lagi ditulisnya untuk Majalah AYUH.

Otaknya serabut. Jiwanya kacau. Fikirannya celaru. 

Saiful penat. Tak larat.

Sejak kebelakangan ini, tidurnya juga tidak pernah cukup. Malah kadangkala dia merasakan seolah-olahnya tidurnya hanya menambahkan penat, dan bukannya memberi rehat. Paling awal dia boleh tidur setiap malam adalah pada jam satu pagi. Itu paling awal. Kemudian dia perlu bangun awal pula untuk menunaikan haknya pada Allah. Untuk bersolat jemaah di masjid. Untuk bersiap-siap ke pejabat.


Dia menghela nafas. Panjang. Dicapainya mag putih berisi sisa kopi susu yang ada. Dihirupnya perlahan. Dipejamkan matanya dan dibiarkan reseptor-reseptor pada lidahnya perlahan-lahan menikmati rasa-rasa pahit, manis dan kelat kopi. Nikmat.

Saiful benar-benar penat.

Hari ini bukan kali pertama wajahnya tak tumpah seperti zombie Kampung Betik. Pucat. Tidak bermaya. Sudah beberapa orang rakan sepejabatnya yang menegurnya, kerana menyangkakan dia sakit. Dia hanya mampu tersenyum lesu dan menggelengkan kepala, tanda dia tidak apa-apa. 

"Al-Quran ini, sepatutnya kita 'rasa'.. Bukan hanya untuk dibaca.."

Kata-kata Ustaz Salim laju memasuki telinganya. 

"Sabbihisma rabbikal a'la.. Sucikanlah Tuhanmu yang Maha Tinggi.."

Selalunya, pada hari-hari Saiful segar dan bertenaga, dia pasti bersemangat dan teruja mendengar setiap bait-bait kata Ustaz Salim. Dia akan tersenyum sendirian. Kadang-kadang tertawa. Sering juga berkerut dahi dan menjuih mulut, dek khusyuk dan fokusnya dia pada pengisian Ustaz Salim.

Namun hari ini dia tidak berasa apa-apa. Kata-kata Ustaz Salim hanya ibarat angin lembut yang menampar pipi. Antara dengar dan tidak. Antara faham dan tidak. Antara sedar dan tidak.

Seluruh tubuh Saiful lenguh-lenguh kerana kepenatan. Matanya berat. Gerakannya longlai. 

Ini tak boleh jadi.

Saiful menekan butang 'pause' pada VLC player-nya. Dia bingkas bangun. Dia berjalan menuju ke lif, menunggu pintu lif terbuka sambil terkumat-kamit menghafal ayat hafazan mingguannya, masuk ke dalam lif dan segera menekan butang '8'. Sampai ke tingkat lapan, dia melangkah keluar dan menuju ke sebuah ruang yang ditandai dengan papan tanda 'Surau.'

Perlahan-lahan dia menanggalkan kasut dan stokinnya. Dilipatnya seluarnya dan segera dia menuju ke tempat mengambil wudhu'. 

Dia memusing kepala paip air. Dibiarkannya sebentar air mengalir perlahan sebelum dialirkan air ke tangannya. Ditadahnya airlantas wajahnya dibasahkan. 


Aaaaaaahhh. Segar. Subhanallah.. 


Dia membiarkan kulitnya menikmati setiap titisan air yang membasahinya. 


Seusai wudhu', dia segera mengambil mencari tempat untuk menunaikan solat Dhuha. Nafas yang panjang dihela, sebelum dia mengangkat takbir.


Dia cuba untuk khusyu' dalam solatnya, namun dek pelbagai masalah dan amanah yang bermain di fikirannya, ditambah dengan kepenatan yang mengusai seluruh tubuh badan, dia tidak mampu untuk memusatkan konsentrasinya. 


Mujur pada sujud rakaat pertama, hatinya kuat memberontak, lantas dia beristighfar dan segera mentajdidkan fokusnya. Bangkit untuk rakaat kedua, dia lebih tenang. Nyaman.


Dia memilih untuk membaca surah ad-Dhuha untuk rakaat kedua, usai bacaan al-Fatihah.



"Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yanbingung, lalu Dia memberikan petunjuk. Dan dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu dia Dia memberikan kecukupan."

Tiba ayat tujuh dan lapan itu, hatinya sebak. Jiwanya bergetar. Sukmanya luluh.


Tidak semena-mena, mengalir titisan air panas daripada matanya, mengembuni pipi kiri dan kanannya. 


Dia merengek. Bahunya naik dan jatuh. Naik dan jatuh. 


Hatinya rancak berbicara dengan kekasihnya, Allah Yang Maha Mendengar itu. Dia mengadu. Dia mengomel. 


Sujud akhirnya cukup lama. Diluahkan segala-galanya dalam sujud itu. Dipintanya kekuatan tambahan. Dimintanya kemahuan yang berterusan. Dipohonnya seribu keampunan.


Usai memberi salam, hatinya lebih lega. Tubuhnya rasa lebih ringan. Lenguh-lenguhnya berkurangan. Benarlah solat itu suatu kerehatan.


Namun kepenatannya masih dirasai. Musykilah-musykilah dakwah, hal-hal duniawi dan bermacam lagi isu tidak lekang daripada fikirannya. Masih tidak lelah mengasak dirinya.


Dia mendengus. Mengeluh. 


Dicapainya Samsung SIII miliknya. Segera dia ke aplikasi Whatsapp. Dicarinya perbualan terakhirnya dengan Sirin, al-akh kesayangan hatinya. Dunia dan akhirat. 


Dia menekan-nekan papan kekunci maya pada skrin telefonnya. Teragak-agak. 


"Akhi fillah.. Ana... Ana penat... Ana sumpah penat... Tak larat. Akhi... Tolong bagi motivasi kat ana sikit. Ana rasa macam dah nak futur dah ni..."


Send. 


Dia capai al-Quran poketnya. Diselaknya secara rawak.


Al-Ankabut. Salah satu surah kegemarannya. Dan surah yang tidak pernah gagal mengoyak dan membakar hatinya.



"Aliif laam miim. Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, 'Kami telah beriman,' dan mereka tidak diuji? Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta."
[al-Ankabut, 29:1-3]

Allah... Jiwanya tersentak. Dipukul kuat. Maut.


Tidak semena-mena, ketika itu juga telefonnya berbunyi. Tanda mesej Whatsapp masuk. 


Sirin. 


"Akhi mahbub.. Sorga tu mahal harganya kan..? 


Tempat rehat kita di sorga nanti, bukan di sini. Dan ana nak berehat-rehat, bersantai gembira dengan anta di sana. 

Di sana akhi, di sorga. Senyum."

Wednesday, August 1, 2012

APA ITU PARANOID




Assalamualaikum warahmatullah guys! 

Terus kepada cerita dan gambar di atas. Mesti korang dah terdengar kan mengenai konspirasi Yahudi terhadap Olimpik 2012? Sekarang ni saya melihat ramai je yang share berkenaan dengan benda-benda konspirasi yang bagai-bagai tuh Facebook kat laman web yang digilai ramai iaitu! Waduh =.=" Mudahnya mereka terus menyebarkan tetapi....... hanya sekadar share sajakah? Kemudian? Buat apa? Saja nak share sebagai tanda prihatin kita terhadap unsur-unsur jahat Yahudi itu terhadap keselamatan penduduk London? Saja nak penuhkan notification Facebook orang like link yang kita share? <----- [rujuk diri sendiri, ok saya pegi memasak sekarang =.=" ]

Okay, dah nak berbuka. Saya capaikan terus dengan merujuk kepada blog seorang jejaka ini Tuan Hafizuddin An-Nuri . Ini adalah sedikit perkara yang berkaitan dengan Illuminati dan Paraniod yang dialami oleh sesetengah orang yang gila sangat dengan isu konspirasi terhadap rancangan maha jahat Yahudi terhadap penduduk dunia. Semoga sebelum shut down komputer kita dapat sedikit pengisian ^^


KONSPIRASI ILLUMINATI & PARANOID


Maksud Paranoid: 

Paranoia adalah perkataan dari Greek yang bermaksud Madness/Kegilaan.

Dari aspek psikologi pula, paranoid merupakan gangguan mental yang merujuk kepada seseorang yang mempercayai bahawa orang lain sentiasa mengancamnya atau dirinya berkedudukan penting (walaupun pada hakikatnya tidak).

Maksud Konspirasi:

Konspirasi pula adalah satu persepakatan atau persekongkolan antara 2 pihak atau lebih yang berkomplot untuk melakukan sesuatu yang bersifat tidak sah, salah dan jahat atas tujuan jahat.

Pengertian Illuminati:

Illuminati berasal dari perkataan 'illuminate' yang bermaksud menerangi. Ia adalah organisasi rahsia yang terdiri daripada gabungan kaum Pagan khasnya kaum Kabbalah-Yahudi dan kaum Kristian yang sudah berpaling tadah dan keluar dari agama mereka.

Menurut sejarah moden Illuminati, kumpulan ini telah diasaskan oleh Adam Weishupt yang merupakan salah seorang anggota Freemasonry yang telah keluar dari Kristian dan menubuhkan kumpulan ini.

Berasaskan kaum Pagan, pergerakan Illuminati merupakan gerakan aliran sihir yang mempercayai ramalan astrologi serta mistik sesat. Tujuan ia ditubuhkan adalah untuk menguasai dunia hari ini, supaya segala perkara yang berlaku mengikut acuan mereka.

Teori konspirasi ini menjelaskan bahawa ia diketuai dan dipantau oleh Dajjal La'natullah sebagai 'the hidden hand'. Illuminati juga dikenali sebagai New World Order (NWO) atau Shadow Government.

Terlalu banyak pengkaji-pengkaji Islam hari ini yang telah membuat pelbagai pendedahan tentang konspirasi jahat ini. Teori demi teori telah dibentangkan dalam pelbagai seminar dan bentuk kertas kerja agar umat Islam hari ini lebih mengetahui dan mengemaskini maklumat tentang konspirasi tersebut.

Cukup dengan itu, kebimbangan yang lebih nyata pada hari ini adalah sifat umat Islam dan masyarakat hari ini yang lebih bersifat 'menerima'. Apa yang mereka terima, maka itulah ilmu dan pegangan mereka. Sifat ini tampaknya negatif dan memberi kesan buruk apabila masyarakat Islam kelamaan menjadi paranoid dengan pendedahan teori-teori konspirasi tersebut.

Keyakinan mereka terhadap kemuliaan dan kehebatan Islam semakin merundum tatkala mendapat maklumat tentera-tentera Dajjal La'natullah yang semakin maju dan hebat. Seolah-olah Islam akan jatuh ke tangan mereka dengan perancangan hebat mereka.

Allah berfirman dalam Al-Quran:

"Mereka telah membuat perancangan, dan Allah juga membuat perancangan. Dan Allah sebaik-baik perancang"

Kita yakin dengan permusuhan yang berlaku antara umat Islam dan Yahudi kerana ia dipaparkan dalam Al-Quran, hadis-hadis Nabi dan sejarah umat Islam. Kehadiran Dajjal di akhir zaman juga menjadi keimanan kita untuk mempercayainya. Namun, bukanlah menjadi ketakutan bagi kita dengan kehebatan perancangan musuh Allah.

Cabaran dan dugaan terbesar yang berlaku dalam kalangan umat Islam adalah bukan daripada musuh, tetapi daripada kelemahan sendiri.

Ulama' telah menggariskan 3 jenis ilmu yang mesti dilalui oleh setiap mukallaf iaitu ilmu fardhu 'ain;

1- Ilmu Tauhid (Usuluddin)
2- Ilmu Syara' (Al-Fiqh)
3- Ilmu Batin (Tasawwuf)

Lengkapilah diri kita dengan asas-asas yang telah digariskan supaya kita tidak mudah jauh tersasar daripada landasan asal dalam menghadapi fitnah dunia akhir zaman hari ini. Tambahlah kesempurnaan ilmu tersebut dengan ilmu-ilmu lain supaya terlahirnya generasi umat yang kuat dan kental dalam aspek zahir dan batinnya.

Kita sedikit pun tidak menolak teori-teori konspirasi yang telah dibentangkan sehingga hari ini, namun janganlah dengan teori ini hidup kita menjadi sengsara dan tidak tentu arah dek ketakutan yang melampau. Kesedaran inilah, dengan ilmu-ilmu yang semakin hari semakin ditopup, kita bina kekuatan umat Islam dari dalam diri sendiri bukan dengan kelemahan musuh. 



Percayai KONSPIRASI, jauhi PARANOID!



^^ SEMOGA ALLAH REDHA DALAM BULAN RAMADHAN KALIAN ^^







Thursday, June 14, 2012

Ujian dalam hidup manusia

Bismillahirrahmanirrahim ^^


Tajuk entry kali ini adalah berkenaan dengan ujian yang kita hadapi sepanjang kehidupan sebagai seorang Muslim. Orang Muslim dichenta oleh Allah apabila dirinya dengan diuji. Tak ke? Kan kite biasa dengar yang Allah memberikan ujian kepada manusia itu mengikut kemampuan iman manusia itu, dan setiap ujian manusia itu sudah tentunya berbeza. Jikalau imannya mencanak-canak, maka ujian itu adalah sekian-sekian :)

Bila fikir-fikir balik memang ujian itu perkara biasa dalam kehidupan kita. Kita tidak dapat lari dari pelbagai ujian dalam hidup. Cumanya adakah kita menyedari kenapa kita diuji. Jawapannya sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Ankabut,

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman sedangkan mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan." (Surah Al-Ankabut: ayat 2)

Di sini jelas, kita sebagai orang beriman pastinya diuji dan 4 jenis ujian yang kita pasti tempuhi:

Ujian amal ibadah
Manusia beriman perlu beramal ibadah sebagaimana tuntutan AQ dan Sunnah. Solat juga satu ujian, berapa ramai yang gagal dalam ujian ini. Solat hanya bila keadaan senang dan bila sibuk atau dalam perjalanan lupa walaupun ada kemudahan jamak dan qosar. Lebih buruk lagi lansung tidak bersolat. Ibu bapa pula wajib menyuruh anak mereka solat seawal 7 tahun. Berapa ramai yang gagal dalam ujian ini.

Ujian Kemaksiatan
Kita berada pada akhir zaman begitu banyak kemaksiatan berlaku. Zina, rogol kedengaran setiap hari. Berpacaran sana sini. Aurat yang perlu dijaga sebagaimana tuntutan agama gagal dipenuhi. sekali lagi begitu ramai gagal dalam ujian ini.

Ujian Kesenangan
Kadang-kadang kita diberi kemewahan. Bergaji besar, mampu membeli rumah yang selesa, kereta besar. Wang bukan lagi masalah dalam kehidupan. Semua benda boleh dibeli. Tapi kita lupa bahawa harta kekayaan itu juga ujian. Berapa ramai yang mula sombong, lupa keluarkan zakat. Bercakap mula tinggikan suara dan menganggap pendapat orang lain semua salah. Selalunya ramai yang tewas dengan ujian ini.

Ujian Musibah

Ada antara kita yang dhoif, kehidupan kais pagi makan pagi - kais petang makan petang. Sentiasa dalam kesempitan. Adakah kita mampu bersabar atau mula memikirkan tambah pendapatan tanpa mempedulikan halal haram. Rasuah begitu berleluasa. Adakah jalan haram juga diambil bagi menjadi kaya. Sekali lagi kita diuji.

Semua keempat-empat ujian di atas pasti ada bagi setiap yang beriman. Kerana Allah hendak menguji kesabaran kita. Maka beruntunglah bagi mereka yang berjaya menghadapi setiap ujian tersebut denfan jayanya.


Penutup
Jangan kita rasa down apabila memerima ujian ya kawan-kawan. Hadapinya dengan bersabar. InnAllahama'ashabiriin (Sesungguhnya Allah sentiasa bersama dengan orang yang sabar). Wah! Dengan bersabar sahaja Allah bersama dengan kita. Kalau kita melakukan amal kebajikan yang lain sudah pastilah Allah berada dekat disisi kita..Cuba kita fikirkan kalau kita tidak sabar dengan ujian yang diberi oleh Allah, adakah Allah bersama dengan kita dan mesti ingat! Pastilah ada makhluk yang sedang bersedia menunggu kita untuk mengajak bersama-sama mereka ke lembah kehinaan. 


Ceket aut !!

Wallahualam (^^,)

Saturday, June 2, 2012

Kisah Zinnirah, Srikandi Firdausi~

Wanita mithali ini bukanlah terkenal kerana kecantikan atau kebangsawanan. Dia memang tidak memiliki kecantikan atau kekayaan. Dia hanyalah seorang hamba kepada Umar al-Khattab sebelum keislamannya namun dia memiliki aqidah tauhid yang menebal pada zaman penentangan Islam. Biarpun fizikal wanita ini diseksa dengan berbagai-bagai kesakitan, penderitaan & kesusahan tetapi hatinya tetap kepada Allah S.W.T. Dia menerima penyeksaan itu walaupun tubuhnya hancur akibat pukulan demi pukulan, sepakan terajang & hantukan. Namun, demi Islam dia tidak akan menyerah kalah.

Zinnirah, begitulah indah namanya, mungkin tidak ramai yang tahu kisah ketabahan & keagungan cintanya kepada Allah S.W.T. Wanita ini tidak punya ijazah, tidak terkenal di dunia, tidak mempunyai harta apalagi memiliki pangkat yang besar. Namun, Allah S.W.T memuliakan dan memberi penghormatan yang tinggi kepadanya.

Dunia dan segala isinya bukan lagi matlamat. Sekalipun dilonggokkan emas sebesar Bukit Uhud, dia tidak akan menukar aqidah yang telah bertunjang di hatinya. Menurut riwayat islam, Zinnirah adalah di antara org yang awal memeluk Islam.Zaman awal Islam penuh cubaan. Sesiapa yang memeluk Islam, tidak seorang pun bebas daripada pelbagai penderitaan, kecaman, kata nista dan penindasan. Zinnirah mengalami itu semua. Wanita berbangsa Rom ini telah ditawan dan dijual di Kota Makkah. Kemudian Umar al-Khattab membelinya dengan harga yang murah utk dijadikan hamba, seterusnya menjadi tawanan tuannya.

Pada peringkat awal, Zinnirah cuba menyembunyikan pengislamannya daripada diketahui oleh Umar. Dia melakukan ibadah ketika org lain tiada di rumah atau pada waktu tengah malam ketika org lain sedang nyenyak tidur. Namun, lama kelamaan amalan solehahnya dapat dicium oleh musuh.

Sudah tentu org yang paling marah ialah tuannya sendiri iaitu Umar. Siapakah yang tidak kenal dengan Umar al-Khattab yang terkenal dengan sikap kejam, bengis, ganas, garang, tidak berhati perut, tidak berperikemanusiaan itu. Umar terus menampar Zinnirah, menendang, mengikat kedua belah kai tangan Zinnirah. Kemudian, dijemur di tgh panas mentari. Bayangkanlah antara seksaan yang dihadapinya. Sungguh panas padang pasir pada waktu siang dan terlalu sejuk pada waktu malam, badannya dihempap dengan batu besar dan 1001 macam penyeksaan yang diterimanya.

Dalam keperitan fizikal, Zinnirah masih mampu menguntum senyuman. Hatinya tidak putus-putus mengucapkan " Allah, Allah, Allah, Allahu Akbar, Allah lah yang Maha Besar ". Dan hatinya berbisik, " Ini untuk-Mu wahai Tuhan, aku membeli kesusahan ini utk mendapat kesenangan di akhirat ". Begitulah ungkapan katanya yang menjadi penawar utknya.

Kemuncak penyeksaan yang diterima oleh Zinnirah ialah matanya dicucuk dengan besi tajam dan akhirnya gelaplah seluruh pandangan. Hatinya masih mampu berbisik," Tuhan, walau aku dibunuh mati, aku lebih rela daripada menjual agama-Mu ini Tuhan. Semakin aku diuji, semakin terasa kehebatan dan keagungan-Mu Tuhan. Panahan cinta dari-Mu itulah makin menguatkan diri ini utk menerima apa shj. Cuma satu permintaanku, berilah petunjuk kepada org yang menyeksaku ini.

Ternyata doa org teraniaya ini makbul. Akhirnya Umar memeluk Islam setelah mendapat hidayah Allah S.W.T melalui adiknya, Fatimah. Malah Saidina Umar menjadi sahabat yang tergolong Khulafa Arrasyidin...Sifat pembengisnya bertukar menjadi lembut, garang bertukar kepada pemaaf, bakhil bertukar pd pemurah,tidak berhati perut kepada bertimbang rasa, gila dunia kepada gila akhirat.

Kembali kepada Zinnirah, walaupun matanya buta utk melihat alam maya tapi hatinya tidak buta utk menerima cahaya kebenaran Islam. Pandangan hati boleh menembusi pandangan zahir. Apabila melihat keadaan Zinnirah, org-org Quraisy cuba mempermain-mainkannya. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana menerima laknat dari Tuhan mereka iaitu, latta dan Uzza.

Zinnirah menolak penghinaan itu. Baginya kedua berhala itu tiada sedikitpun kena mengena dengan matanya. Dia cuba meyakinkan mereka bahawa masalah buta itu adalah datang daripa Allah S.W.T. Maka Allahlah yang berkuasa mengembalikan pancainderanya seperti biasa.

Berlakulah sedikit kekecohan, org-org Qurais mencabar Zinnirah kerana mempertahan dirinya. Umar pula sudah berhenti menyeksa kerana bosan melihat ketabahan hatinya.

Hambanya tidak mahu sedikitpun berganjak daripada keimanan kepada Allah S.W.T. Tiada siapa yang boleh menolak ketentuan Tuhan. Apabila Allah S.W.T mengambil sekejap nikmat mata, kemudian memulangkannya semula kepada Zinnirah. Allah S.W.T menggantikannya dengan mata yang lebih baik. Zinnirah boleh melihat seperti biasa, lebih terang daripada matanya yang asal. Demikianlah pertolongan Allah S.W.T kepadanya bagi menguatkan lagi keimanannya. Tidak lama kemudian, Saiyidina Abu Bakar datang menyelamatkan Zinnirah dengan membelinya dengan harga tinggi. Terselamatlah dia daripada menjadi penindasan org-org kafir.

Di antara sifat wanita yang solehah ini, dia sentiasa merasa Allah S.W.T memerhatikan dirinya, setiap detik dan saat. Apabila nafsunya mengajak berbuat sesuatu perkara yang mungkar, segera pula hatinya bertindak balas dengan mengatakan Allah S.W.T Maha Melihat. Nafsu yang mahu berbuat segera ditepis dengan katanya," wahai nafsu mengapa engkau tidak takut dengan neraka?".

Hati Zinnirah sentiasa terpimpin, begitu juga dengan akhlaknya. Hasilnya, hati dan jiwa merasa aman daripada kongkongan hawa nafsu. Kemerdekaan jiwa inilah yang diperolehi oleh Zinnirah, wanita yang tidak terkenal di dunia tetapi terkenal di langit.

Marilah kita berazam dengan membulatkan sepenuh pengharapan memohon pada Allah S.W.T supaya sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah. Sekiranya diuji dengan pelbagai dugaan biarlah hati kita setabah Zinnirah. Biarlah iman kita sekuat dirinya. Biarlah hati kita terus celik...inilah idola kita, Zinnirah....